Tiada lagi e-invois buat peniaga bawah RM1 juta

KOTA KINABALU: Kerajaan mendengar rungutan peniaga berkenaan pelaksanaan e-invois.

Justeru, syarikat kecil tidak lagi akan dipaksa melaksanakan e-invois bermula Januari depan, selepas kerajaan bersetuju menaikkan had ‘threshold’ daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rungutan khususnya daripada peniaga kecil termasuk komuniti Cina yang menganggap pelaksanaan e-invois membebankan.

“Ada juga lain-lain masalah dibangkitkan terutama dari peniaga kecil termasuk peniaga Cina di bandar tentang e-invoicing, terutama yang melibatkan syarikat-syarikat kecil.

“Syarikat besar ini, tahun 2025 takkanlah syarikat besar nak komplen, nak bantah lagi soal e-invoicing, mereka ada keupayaan mencatat keuntungan yang lebih baik, invois lah profesional.

“Tapi syarikat-syarikat kecil dan sederhana ini rasa itu menambah beban dan kos. Saya dengar….Sebab itu saya tak boleh umum masa kempen kerana itu bertentangan dengan peraturan. Saya hanya boleh menyebut kita telah mengarahkan supaya Kementerian Kewangan mengkaji semula,” katanya, memetik berita tempatan.

Pada Jumaat, mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan bahawa threshold syarikat jumlah RM500,000 itu dibatalkan dan dinaikkan RM1,000,000 minima.

“Jadi maknanya syarikat-syarikat kecil betul tidak perlu lagi dipaksa e-invoicing untuk sekarang ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa pelaksanaan e-invoise selepas paras RM1 juta akan dikaji dengan lebih mendalam, termasuk implikasi kos terhadap peniaga.

“Bagaimana keadaannya lepas RM1 juta itu baru dikaji lebih mendalam apa implikasi kosnya.

“Jadi sekurang-kurangnya kita dengar, kita laksanakan segera yang boleh disegerakan ialah naik daripada had RM500,000 kepada RM1 juta,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat