Tiada nas syarak tempoh pemerintahan bukan bermaksud tidak boleh

Oleh: Marwan Bukhari

ULASAN | Pelik saya isu pembatasan tempoh pemerintahan pun boleh jadi isu besar sampai dimainkan isu agama dan kaum, padahal hal ini berkaitan polisi kemaslahatan yang terbuka kepada perbincangan. Secara umumnya polisi yang bermatlamat bagus dan diamalkan di beberapa negara.

Saya ada jawab soalan ini dalam buku terbaru saya Dialog Politik Islam, dikongsikan sebahagiannya:

Soal pembatasan atau pengehadan tempoh sesuatu pentadbiran adalah berkait dengan pertimbangan maslahah dan mafsadah. Tiada dalil khusus tentangnya, tapi tidak bermaksud tidak boleh dilaksanakan kerana apa yang diambil kira ialah matlamat dan implikasi di sebalik sesuatu tindakan yang diambil.

Dengan kata lain, pembatasan ini adalah wasilah yang bergantung dengan matlamat yang ingin dicapai di sebaliknya. Kalau dalam kes pembatasan tempoh berkuasa dan mentadbir seperti menjadikannya tidak melebihi lima tahun ataupun dua penggal, antara objektifnya adalah untuk:

i. Mengelakkan jawatan dimonopoli oleh seseorang atau sekelompok sahaja.

ii. Membuka peluang kepada bakat lain yang berkelayakan untuk mentadbir.

iii. Memperkukuh amalan semak imbang kerana seseorang tidak selamanya dengan satu jawatan, justeru dia perlu sentiasa berwaspada daripada salah guna kuasa.

iv. Menggalakkan amalan pentadbiran yang baik kerana sekiranya seseorang ahli parlimen ingin terus berkhidmat setelah lima tahun, maka dia dan partinya hendaklah dikenali oleh masyarakat yang akan mengundinya sebagai seorang yang berkepimpinan dan berkebajikan.

Pembatasan ini juga berkait dengan kaedah sad dal-dhari’ah yang bermaksud menutup jalan yang asalnya harus sekiranya jalan itu berkemungkinan tinggi akan membawa kepada kerosakan. Dalam konteks ini adalah menutup jalan berkuasa tidak terbatas tempohnya dengan cara meletakkan tempoh tertentu seperti lima tahun.

Contoh yang lebih dekat dengan soalan ini adalah apa yang disebut oleh Muhammad bin Ibrahim al-Lu’lu’i (1966) tentang sesetengah pemerintah dari Dinasti Muwahhidin di Maghribi yang melantik para hakim selama dua tahun sahaja tanpa dibenarkan untuk melebihinya. Antara tujuannya adalah kerana keburukan yang boleh timbul akibat terlalu lama berada dalam jawatan yang sama.

Bahkan, harus diingat bahawa amalan mengehadkan pemerintahan seorang pemimpin ini tidak hanya berlaku pada zaman moden.

Seawal zaman Yunani purba dan Republik Roman lagi amalan ini sudah mula diperkenalkan bagi memastikan tiada monopoli kekuasaan yang berlebihan.

Hal ini kemudian dipopularkan semula dalam bentuk pentadbiran moden selepas berlakunya Revolusi Perancis (1789) dan Revolusi Amerika (1765–1783) yang cuba meruntuhkan amalan diktatorial.

Kesimpulannya, meskipun tiada nas syarak khusus yang mengehadkan tempoh seseorang dan sesebuah kerajaan berada di tampuk jawatan, malah tidak diamalkan dalam sejarah pemerintahan Islam, namun ini tidak bermaksud ia tidak dibolehkan.

Apatah lagi, terdapat objektif-objektif yang boleh dicapai daripada pengehadan ini sebagaimana telah dijelaskan. Oleh itu, tiada masalah untuk kita menerima amalan ini dalam sistem demokrasi pada zaman ini.

***Penulis adalah penterjemah dan penyelidik bidang maqasid dan juga politik

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat