Tiada pencegahan awal faktor utama krisis moral pelajar- Sultan Perak

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Kealpaan dan tiada pencegahan dari peringkat awal menjadi faktor utama berlakunya krisis moral yang semakin parah di antara para pelajar sekolah di negara ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa bimbang apabila tempat yang paling selamat buat kanak-kanak iaitu sekolah kini menjadi lubuk utama berlakunya pelbagai krisis seperti kes buli, keganasan, rogol, kematian dan pembunuhan yang dilakukan oleh anak-anak di bawah usia 17 tahun.

“Ini menjadi cerminan kegagalan pendidikan dalam memenuhi peranan membentuk nilai kemanusiaan, akibatnya berlaku krisis jiwa dan gangguan emosi. Sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak, kini terdedah kepada pelbagai suasana yang mengancam keselamatan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis pelancaran Modul Integriti Keluarga (MIKe) ketika baginda berangkat ke Majlis Perasmian Sambutan Bulan Integriti Nasional 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Rabu.

Titah baginda lagi, sifat penafian yang berterusan, sifat yang tidak berani mengakui kesilapan serta ditambah dengan kurang tindakan tegas turut menjadi penyebab yang menyuburkan lagi sel barah ke atas segala krisis moral itu dalam kalangan para pelajar sekolah.

“Matlamat suci sebenar pendidikan mungkin telah lama kita alpakan kerana terlalu taksub memberi fokus untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) berbentuk kuantitatif, pada harga mengorbankan komponen kualitatif,” katanya.

Sehubungan itu, dalam titahnya, Sultan Nazrin mengingatkan bahawa pendidikan bukan sekadar memenuhi agenda bagi melahirkan siapa yang paling pandai, tetapi untuk melahirkan siapa yang paling insani.

“Sejak mencapai kemerdekaan, negara dan kerajaan amat mengutamakan program pendidikan dengan memberikan peruntukan perbelanjaan yang besar.

“Belanjawan 2026, memperuntukkan 66.2 bilion ringgit kepada Kementerian Pendidikan dan 18.6 bilion ringgit kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Tetapi semua itu akan tinggal sebagai angka, dan erti sebenar pendidikan tidak tercapai kalau jiwa anak-anak masih kosong daripada segi nilai, apabila fokus pendidikan kini gagal melahirkan manusia beradab, berfikir dan punya arah hidup yang betul,” titahnya.

Baginda turut mengingatkan bahawa ibu bapa merupakan golongan yang menggalas peranan utama dalam menyemai benih integriti dalam jiwa anak-anak mereka kerana rumah ialah madrasah pertama seorang yang bergelar insan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat