KOTA KINABALU: Tiada sebarang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, keputusan mengenai pembubaran DUN Sabah terletak sepenuhnya kepada Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
“Perbincangan tertumpu kepada isu-isu berkaitan pembangunan Sabah dan usaha mengukuhkan kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya memetik laporan media tempatan.
Terdahulu, beliau tiba bersama delegasi pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan disambut barisan kepimpinan tertinggi Negeri Sabah kira-kira pukul 11.00 pagi.
Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Dalam rangka lawatan tersebut, Perdana Menteri turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Ini merupakan kunjungan hormat pertama Anwar ke atas Musa Aman sejak pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri.
“Ruang itu kami gunakan untuk bertukar pandangan mengenai isu semasa selain merapatkan lagi hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Lawatan ini penting dalam memacu Negeri Di Bawah Bayu ini ke tahap yang lebih tinggi di masa akan datang khususnya terkait kepada pembangunan dan kebajikan rakyat,” menurut Anwar dalam hantaran di Facebook.