KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen kerajaan untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam salah laku dan rasuah termasuk individu dalam jabatan kerajaan sendiri.
Berucap pada Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025, beliau berkata, ketegasan itu adalah asas penting bagi memastikan undang-undang dapat dikuatkuasakan secara adil dan tanpa pilih kasih.
“Tiada ruang sama sekali untuk melindungi mana-mana individu, sama ada anggota mahupun pegawai yang terlibat dalam salah laku dan rasuah,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa pendirian tersebut merangkumi semua institusi kerajaan termasuk Pejabat Perdana Menteri sekiranya terdapat bukti wujudnya jenayah rasuah.
“Untuk membina sebuah negara bertamadun dengan pentadbiran berintegriti tinggi, badan penguat kuasa perlu mempunyai keberanian serta kesediaan bertindak tegas, termasuk terhadap anggota mereka sendiri,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengingatkan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan dengan teliti agar selaras dengan prinsip negara hukum, sekali gus memelihara integriti institusi.
Sambutan HARA 2025 kali ini memberi penekanan kepada usaha memperkukuh nilai integriti serta memerangi rasuah di semua peringkat pentadbiran negara, seiring dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan tadbir urus berasaskan keadilan dan ketelusan.








