Tiada Pertindihan Fungsi MyNIISe, MyBorderPass Dan MyDigitalID – JIM

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan bahawa pelaksanaan sistem MyNIISe, MyBorderPass dan MyDigitalID tidak mempunyai pertindihan fungsi.

Sebaliknya, setiap platform dibangunkan dengan peranan khusus bagi melengkapkan ekosistem pendigitalan perkhidmatan imigresen negara.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius beberapa hantaran tular di media sosial yang menimbulkan kekeliruan orang ramai berhubung penggunaan kemudahan autogate dan aplikasi digital di pintu masuk negara.

Menurut beliau, MyNIISe dibangunkan sebagai platform digital tunggal yang menyatukan urusan serta perkhidmatan imigresen Malaysia di bawah satu sistem bersepadu, sekali gus memudahkan urusan pengguna.

“MyBorderPass pula merupakan sistem yang mula beroperasi sejak 2024 sebagai langkah intervensi sementara melalui ujian konsep bagi menangani kesesakan kritikal di pintu masuk utama negara khususnya menerusi penggunaan autogate berasaskan kod QR terpilih,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Zakaria turut menjelaskan bahawa MyDigitalID bukan aplikasi imigresen, sebaliknya berfungsi sebagai platform identiti digital kebangsaan yang menjadi gerbang keselamatan bagi pengesahan identiti pengguna dalam ekosistem perkhidmatan digital kerajaan.

“MyDigitalID memastikan akses yang lebih selamat dan sahih ke dalam perkhidmatan kerajaan termasuk MyNIISe,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan ketiga-tiga sistem berkenaan dilakukan secara berfasa dan kini berada dalam tempoh peralihan bagi membolehkan pembangunan MyNIISe disempurnakan sepenuhnya tanpa menjejaskan kelancaran operasi di pintu masuk negara.

Pada masa sama katanya, JIM akan terus mempergiat agenda pembaharuan dan penambahbaikan perkhidmatan imigresen berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI), selari dengan usaha pendigitalan kerajaan.

“Pendigitalan ini dilaksanakan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, selamat dan mesra pengguna demi manfaat rakyat serta keselamatan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat