PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir Kuning, Desa Pasirlangu, Daerah Kecil Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, Indonesia pada Sabtu.
Menurut Wisma Putra, maklumat tersebut diperoleh hasil pengesahan daripada pihak berkuasa Indonesia.
“Kementerian ini mengesahkan bahawa setakat ini tiada warganegara Malaysia dilaporkan terkesan akibat insiden berkenaan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah segera menghubungi wakil pelajar serta rakyat Malaysia yang berdaftar di kawasan Bandung Barat.
Selain itu, pihak kedutaan juga menjalin komunikasi aktif dengan Kementerian Luar Indonesia bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat.
Dalam masa sama, Wisma Putra merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat, serta mendoakan agar segala urusan mencari dan menyelamat dipermudahkan.
Kementerian Luar menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau situasi berkenaan secara rapi dan menyalurkan maklumat lanjut sekiranya terdapat perkembangan baharu.
Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, mereka boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui talian +62 813 8081 3036 atau e-mel [email protected].








