KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada warga Malaysia yang sepatutnya mengharungi usia tua dalam ketakutan terhadap kemiskinan, pengabaian atau kehilangan peranan dalam masyarakat moden.
Ketika merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2025 (ISWC 2025) anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Anwar menekankan komitmen kerajaan untuk membina sistem sokongan persaraan yang lebih mampan dan inklusif, sejajar dengan perubahan struktur pasaran buruh dan peningkatan jangka hayat.
“Warga emas Malaysia kini lebih sihat, berpendidikan dan berkemampuan.
“Dengan sokongan yang betul, mereka masih mampu menyumbang melalui pekerjaan, bimbingan atau khidmat masyarakat,” katanya.
Beliau turut memuji usaha KWSP yang gigih dan proaktif dalam meneroka pendekatan baharu demi meningkatkan kecukupan simpanan persaraan rakyat, sambil mengiktiraf realiti demografi dan sosioekonomi semasa.
Menurut Anwar, banyak negara kini melaras dasar umur persaraan dan memperkenalkan fleksibiliti di tempat kerja untuk menyesuaikan diri dengan gaya hidup warga emas yang lebih aktif dan sihat.
“Penstrukturan semula tenaga kerja sedang berlaku ketika ekonomi negara dibentuk semula oleh pekerja gig, usahawan mikro dan mereka yang bekerja sendiri,” jelasnya.
Tambah beliau, melalui kerangka Ekonomi Madani, kerajaan terus memperkukuh potensi ekonomi rakyat menerusi pelaburan dalam pendigitalan, inovasi inklusif dan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebagai teras kepada daya tahan sosial jangka panjang.
Turut hadir ke persidangan tersebut ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali.