Tiada Rombakan Kabinet, Ini Hanya Pemilihan Parti – Anwar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet akan berlaku dalam Kerajaan Perpaduan susulan beberapa nama besar dalam parti itu gagal merebut jawatan peringkat Cabang pada Pemilihan PKR baru-baru ini.

Ujar beliau, keputusan itu tidak menjejaskan kedudukan mereka di dalam Kerajaan Negeri mahupun peringkat persekutuan kerana pemilihan berkenaan terkait dengan pengundian dalaman parti PKR sahaja.

“Tiada (rombakan kabinet). Ini pemilihan parti dijalankan dengan baik, ada beberapa masalah musykil boleh dibangkit dalam mesyuarat khas hari Rabu.

“Tetapi ini soal parti, tiada timbul soal Kerajaan Negeri atau Persekutuan. Berjalan seperti biasa.

“Saya melihat dari segi prestasi masing-masing dan bukan percaturan politik,” ujarnya memetik laporan media tempatan.

Beliau ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Isnin.

Berdasarkan keputusan Pemilihan PKR peringkat Cabang baru-baru ini, dilaporkan beberapa nama besar dalam parti itu tewas antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.

Keadaan itu menyebabkan calon yang tewas membuat bantahan dan mempertikaikan sistem undian yang dilaksanakan dan mendakwa terdapat tangan ghaib yang campur tangan dalam proses pengundian.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan wujud ‘tangan ghaib’ yang cuba mempengaruhi proses pemilihan peringkat Cabang itu.

Anda Mungkin Berminat