‘Tiada Ruang Kelewatan, Rakyat Jadi Ukuran’ – Anwar

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kuala Terengganu bagi meneliti kemajuan projek serta isu pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Beliau berkata, setiap perancangan mesti dizahirkan melalui tindakan yang tuntas, cekap dan berkesan dengan fokus utama kepada keutamaan rakyat.

Perbincangan mesyuarat memberi tumpuan kepada aspek pendidikan, infrastruktur, pengangkutan awam, kesihatan, sosioekonomi serta kebajikan dengan pendekatan menyeluruh berteraskan nilai ihsan, keadilan dan amanah.

“Kerajaan MADANI akan memastikan urusan dipermudah, penyelarasan diperkukuh dan pelaksanaan dipercepat agar setiap inisiatif sampai kepada rakyat tanpa hambatan birokrasi,” ujar beliau.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa tiada ruang bagi kelewatan atau kecuaian dalam pelaksanaan projek pembangunan.

“Ukuran kejayaan adalah pada perubahan yang dirasai rakyat, bukan sekadar perancangan di atas kertas,” katanya.

Beliau berharap setiap perancangan di bawah RMK-13 benar-benar mampu mengangkat taraf hidup rakyat Terengganu serta memperkasa kehidupan mereka dengan sebaiknya.

“Semoga setiap perancangan ini benar-benar mengangkat taraf hidup selain memperkasa kehidupan rakyat Terengganu dengan sebaiknya, Insya-Allah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat