Tiada Sebab Untuk ‘Meraikan’ Penghakiman Kes Adendum Najib – Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, berpandangan tiada keperluan untuk mana-mana pihak “meraikan” atau memperlekehkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan berkaitan kesahihan Titah Adendum Diraja melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam satu catatan Facebook, Ong yang juga bekas pemimpin kanan DAP berkata, walaupun keputusan mahkamah tersebut selari dengan kerangka perlembagaan, reaksi keterlaluan terhadap nasib Najib hanya akan menambah ketegangan politik dan sentimen perkauman yang sedia wujud dalam negara.

“Tiada sebab untuk ‘meraikan’ atau menggosok garam ke atas luka. Najib telah pun menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara sejak Ogos 2022,” katanya.

Ong merujuk keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Alice Loke Yee Ching, yang memutuskan bahawa Titah Adendum berhubung permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah adalah tidak sah kerana tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, sekali gus tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ong, ramai pengamal undang-undang dan sarjana perlembagaan boleh menerima alasan penghakiman tersebut dari sudut perundangan, namun reaksi politik terhadap keputusan itu perlu ditangani secara berhemah.

Beliau mengakui bahawa kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB, yang melibatkan penyelewengan dana awam dalam jumlah besar, masih segar dan wajar difahami.

Namun, katanya, perasaan itu tidak seharusnya diterjemahkan kepada sikap mempermalukan seorang bekas Perdana Menteri secara terbuka.

“Ramai dalam kalangan masyarakat Melayu mungkin tidak menyokong tindakan Najib dalam isu 1MDB tetapi pada masa sama tidak mahu melihat seorang bekas Perdana Menteri dihina atau dijadikan bahan perayaan politik,” katanya.

Ong turut memberi amaran bahawa kenyataan dan tindakan yang dilihat sebagai tidak sensitif boleh menjejaskan kestabilan Kerajaan MADANI khususnya dalam tempoh dua tahun terakhir sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.

Menurutnya, tindakan sedemikian juga berpotensi merenggangkan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) serta membuka ruang kepada BN untuk mencari kerjasama politik lain menjelang pilihan raya.

Dalam nada lebih reflektif, Ong turut mencadangkan agar satu perbincangan nasional yang lebih matang dimulakan pada masa depan mengenai kemungkinan pengampunan penuh terhadap Najib sebagai sebahagian daripada usaha “penetapan semula politik”.

Beliau merujuk cadangan “Grand Amnesty” yang pernah dikemukakan oleh Khairy Jamaluddin, yang menurutnya bertujuan menghentikan budaya menggunakan instrumen negara untuk memburu lawan politik apabila sesebuah pihak berkuasa.

“Dalam semangat kematangan politik dan perdamaian nasional, kita perlu belajar memaafkan, walaupun tidak semestinya melupakan demi masa depan negara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat