Tiada Sekatan Rasmi ke Luar Negara terhadap Fahmi Reza – KPN

PETALING JAYA: Aktivis seni, Fahmi Reza, tidak dikenakan sebarang sekatan rasmi untuk keluar negara, menurut Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam satu kenyataan, beliau menjelaskan bahawa nama Fahmi hanya dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rekod dan rujukan, susulan siasatan kes yang masih berjalan.

“Namun harus ditegaskan, bahawa senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Razarudin turut mengakui berlaku kekeliruan semasa proses semakan di pintu keluar negara pada 7 Jun 2025 yang menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat.

“Situasi ini sedang diteliti dan langkah sewajarnya akan diambil bagi memperkemas prosedur sedia ada,” ujarnya.

PDRM menegaskan komitmennya dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak bagi setiap rakyat Malaysia.

Menurut beliau, Fahmi kini bebas untuk melakukan perjalanan ke luar negara seperti biasa tertakluk kepada peraturan imigresen dan undang-undang berkaitan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menyemak semula larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap Fahmi.

Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, Anwar berkata, Kerajaan MADANI menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak mengancam keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.

Difahamkan, Fahmi telah ditahan di kaunter imigresen pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dimaklumkan bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman tidak membenarkannya keluar negara tanpa diberikan alasan.

Anda Mungkin Berminat