Tiada Terkecuali: Keberanian PMX Hadapi Proses Keadilan Harus Dipuji

KUALA LUMPUR : Angkatan Muda Keadilan (AMK) memuji keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), yang bersedia menghadapi proses undang-undang secara terbuka, sambil menegaskan bahawa tiada siapa terkecuali daripada prinsip kedaulatan undang-undang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Naib Ketua AMK, Nabil Halimi, berkata tindakan PMX mencerminkan integriti dan ketelusan seorang pemimpin yang meletakkan keadilan serta akauntabiliti sebagai asas pentadbiran.

“Tiada individu yang berada di atas undang-undang. PMX telah menunjukkan komitmen terhadap prinsip reformasi dengan bersikap terbuka dalam menghadapi proses perundangan. Ini wajar dipuji, bukan dipersoalkan,” katanya.

AMK turut menolak cadangan Dewan Pemuda PAS Malaysia agar Perdana Menteri mengambil cuti sementara, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan memperlihatkan ketidakmatangan politik.

 “Tindakan itu hanya akan menjejaskan kestabilan pentadbiran, menggugat keyakinan pelabur dan mengalihkan tumpuan kerajaan daripada agenda reformasi serta kebajikan rakyat,” tegas Nabil.

Menurut kenyataan tersebut, AMK juga menegaskan bahawa pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman mesti terus dihormati, serta menolak sebarang dakwaan kononnya wujud campur tangan kerajaan dalam sistem kehakiman negara.

 “Mahkamah adalah institusi bebas. Kita mesti kekal yakin dan hormat kepada proses ini, tanpa mempolitikkan isu untuk kepentingan tertentu,” tambahnya.

AMK menyeru generasi muda untuk terus menyokong usaha reformasi yang sedang digerakkan oleh kerajaan dan menolak sebarang percubaan menggugat kestabilan politik dan masa depan negara.

Kenyataan ini hadir dalam konteks komitmen berterusan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk menjadikan reformasi institusi dan ketelusan sebagai tunjang utama pentadbiran negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat