Tiada Toleransi Terhadap ‘Scammer’ Menyamar ADUN, Tipu Bantuan Kasih Johor – MB

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi amaran keras kepada rakyat negeri itu supaya berwaspada terhadap sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama Bantuan Kasih Johor (BKJ), susulan laporan bahawa kegiatan ‘scammer’ semakin aktif.

Beliau berkata, sebarang pengumuman rasmi berkaitan BKJ hanya akan dibuat melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor dan orang ramai diminta agar tidak mudah terpedaya dengan pautan mencurigakan atau permintaan maklumat peribadi daripada pihak tidak dikenali.

Menurutnya, beliau memandang serius pendedahan pihak polis mengenai kewujudan 12 akaun TikTok yang disyaki menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru wajah dan suara barisan Exco kerajaan negeri bagi memperdaya rakyat.

“Ini adalah satu jenayah terancang dan tidak bertanggungjawab.

“Sindiket berkenaan bukan sahaja mencemarkan imej kepimpinan negeri, malah cuba mengeksploitasi kepercayaan rakyat.

“Mereka menggunakan logo serta identiti kerajaan negeri bagi mendapatkan maklumat peribadi seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan butiran akaun bank,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Onn Hafiz turut berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempermainkan kebajikan rakyat.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha mengesan dalang di sebalik akaun-akaun terbabit.

“Kita akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor terpelihara daripada ancaman jenayah siber.

“Tindakan tegas akan diambil dan individu yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.

Sebelum itu, Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arsad mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor yang juga ADUN Serom, Khairin-Nisa Ismail, pada Jumaat lalu.

Siasatan awal mendapati akaun berkenaan dipercayai beroperasi dari luar negara dan digunakan untuk mencuri maklumat peribadi mangsa.

Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan kerugian kewangan diterima akibat penipuan tersebut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Anda Mungkin Berminat