Tiada Ujian Saringan: Pendaftaran Tahun Satu 2027 Bermula 15 Februari

PETALING JAYA: Pendaftaran kemasukan ke Tahun Satu bagi sesi akademik 2027, termasuk untuk murid berusia seawal enam tahun, akan dibuka mulai 15 Februari hingga 31 Mac depan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa proses pendaftaran akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) di https://idme.moe.gov.my.

Menurut KPM, pendaftaran tersebut terbuka kepada kanak-kanak warganegara Malaysia yang tergolong dalam dua kohort umur, iaitu kanak-kanak berusia enam tahun (5+) yang lahir antara 2 Januari hingga 31 Disember 2021, serta kanak-kanak berusia tujuh tahun (6+) yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021.

Kementerian menjelaskan bahawa keputusan itu selaras dengan dasar kerajaan yang membenarkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun secara sukarela ke Tahun Satu mulai 2027 tanpa perlu menduduki sebarang ujian saringan.

“Langkah ini bertujuan mempermudah akses pendidikan awal dan mengelakkan tekanan ke atas kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk tidak melaksanakan ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan murid ke Tahun Satu seawal usia enam tahun bermula sesi persekolahan 2027.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira pelbagai pandangan, termasuk kebimbangan bahawa pelaksanaan ujian berkenaan boleh memberi kesan psikologi serta berpotensi bersifat diskriminatif terhadap kanak-kanak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat