Tiada Yang Aneh Jika Nurul Izzah Jadi Pemimpin – Faiz Na’aman

PETALING JAYA: Ahli PKR, Dr. Muhammad Faiz Na’aman menegaskan bahawa tidak timbul sebarang kejanggalan bagi rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan umat Islam, untuk menerima wanita sebagai pemimpin negara.

Menurut beliau, wanita itu layak untuk memimpin selagi mana individu itu mempunyai ilmu, waras, akidah (bagi Muslim), sihat tubuh badan serta melalui kelaziman aturan sosio-budaya dan politik setempat.

Beliau berkata demikian ketika beberapa pihak mempersoalkan kelayakkan Nurul Izzah untuk menjadi pemimpin.

“Ada sahabat tanya, boleh ke kita berketuakan seorang wanita? Jika merujuk wanita itu ialah Puan Nurul Izzah Anwar maka hujah peribadi saya tiada masalah dalam agama Islam walaupun dianjurkan fitrah kepimpinan itu biasanya untuk kaum Adam.

“Namun dalam keadaan tertentu, Islam tidak melarang naiknya perempuan sebagai pemimpin sepertimana dalam kisah Nabi Sulaiman A.S, baginda mengiktiraf Ratu Balqis adalah pemimpin Kerajaan Saba’. Boleh rujuk pakar agama yang NEUTRAL dan ALIM dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dr Faiz dalam kenyataannya turut mengangkat sejarah Melayu sebagai bukti bahawa masyarakat tempatan pernah berada di bawah pemerintahan wanita, terutamanya di Pantai Timur.

Antara tokoh yang disebut termasuk Cik Siti Wan Kembang, Puteri Saadong, serta ratu-ratu Dinasti Sri Wangsa di Patani seperti Ratu Hijau, Ratu Biru, dan Ratu Ungu.

“Kami mempunyai sejarah kepimpinan ratu yang panjang. Justeru, tidak timbul soal kepimpinan wanita itu bertentangan dengan budaya atau agama,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat