Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak di alam maya diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Keselamatan kanak-kanak dan remaja di ruang alam maya mesti diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa serta masyarakat kerana persekitaran dalam talian berpotensi menjadi ruang toksik yang boleh meninggalkan kesan buruk jangka panjang jika tidak dibendung.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, isu kesihatan mental yang semakin menular ketika ini menunjukkan kesan negatif ketara terutama terhadap kanak-kanak dan remaja.

“Saya amat terkesan dengan kematian seorang pelajar perempuan tahun lalu yang ditikam di sekolah dan bimbang akan kesan persekitaran keselamatan di alam maya yang mengandungi pelbagai ancaman terhadap kesihatan mental masyarakat, terutamanya golongan muda,” titah Baginda.

Menurut Baginda, ruang atas talian yang tidak dipantau boleh membentuk tekanan emosi serta pemikiran negatif dalam kalangan generasi muda.

“Keselamatan kanak-kanak dan remaja di atas talian mesti diberi perhatian oleh pihak berkuasa dan masyarakat kerana ia boleh menjadi ruang yang amat toksik dan memberi kesan buruk jangka panjang jika dibiarkan menular,” titah Baginda lagi.

Baginda bertitah demikian kepada Royal Press Office (RPO) selepas berkenan menerima mengadap rombongan Kelab Oxford Alumni Malaysia di Istana Negara, semalam.

“Justeru, perhatian serta tindakan serius perlu diambil oleh pihak berkuasa dan masyarakat bagi melindungi generasi muda daripada ancaman keselamatan di ruang atas talian,” titah Seri Paduka Baginda.

Baru-baru ini, Raja Permaisuri Agong turut melancarkan program Ilham Seni Diraja, projek perintis membabitkan 200 pelajar sekolah di Kuala Lumpur.

Program itu memberi tumpuan kepada pelajar B40 dengan menyediakan saluran aktiviti membina melalui bidang seni sebagai usaha memupuk kesihatan mental yang baik dan mencegah mereka daripada terjerumus dalam gejala sosial.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat