Tidak mendapat rawatan sewajarnya, remaja meninggal dunia

Seorang remaja meninggal dunia akibat demam denggi yang didakwa berpunca daripada kelemahan kelewatan untuk mendapatkan rawatan sewajarnya oleh pegawai perubatan di Hospital Tuaran.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas dirujuk di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 29 Disember lalu.

Menurut Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna, Hospital Tuaran kini mempunyai empat pakar bertugas iaitu seorang pakar perubatan am, dua pediatrik dan seorang pakar perubatan kecemasan.

“Jabatan Kesihatan Sabah sentiasa berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran.

“Siasatan awal sudah dijalankan dengan menyemak rekod kesihatan kedatangan pesakit dan rawatan kesihatan yang diberikan,” ujarnya kepada Berita Harian.

Susulan kejadian itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius dan akan menjalankan siasatan menyeluruh serta telus untuk mengenal pasti tindakan penambahbaikan bagi perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat Sabah.

Pesakit yang berumur 18 tahun itu hadir ke Hospital Tuaran sebanyak dua kali iaitu pada 25 Disember dan 28 Disember.

Pada hari pertama, pesakit tersebut hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran jam 11.23 pagi dengan gejala sakit ulu hati (epigastric pain) dan muntah selama sehari.

Menurut Dr Asits, berdasarkan rekod, pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas.

Selain itu, pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga adalah stabil dengan bacaan suhu adalah normal.

Beliau berkata, pesakit itu kemudian diberikan rawatan ubat gastrik dan ubat tahan muntah melalui suntikan intravena dan dibenarkan pulang selepas lebih kurang sejam pengawasan di zon pemerhatian.

“Pesakit juga dinasihatkan datang semula dengan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk.

“Pesakit datang semula ke Unit Kecemasan dan Trauma pada jam 8.50 pagi pada 28 Disember 2023 kerana mempunyai gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah, cirit-birit dan kurang selera makan.

“Susulan itu, pesakit diperiksa pakar perubatan kecemasan bertugas dan disahkan menghidap penyakit denggi,” tambah Dr Asits.

Memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, dia dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut pada jam 11.30 pagi hari Khamis.

Bagaimanapun, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth pada hari Jumaat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat