Latihan Pestapora KL 2025 Tawar Rasa Festival Nusantara, Artis Malaysia & Indonesia Bersatu di Pentas Sama
FESTIVAL muzik yang meraikan semangat budaya serumpun, Latihan Pestapora bakal menggegarkan Kuala Lumpur 26 Julai ini.
Menghimpunkan lebih 24 artis dari Malaysia dan Indonesia, festival ini dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama Boss Creator dari Indonesia, dan dianggap sebagai pemanas kepada edisi utama Pestapora yang akan berlangsung di Jakarta September nanti.
Antara nama besar dari seberang yang bakal beraksi ialah Hindia, Pamungkas, Feast, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo dan Kunto Aji, manakala Malaysia diwakili Bittersweet, Bunkface, DOLLA, Salammusik dan ramai lagi.
“Latihan Pestapora adalah seperti ‘preview’ kepada rakyat Malaysia yang tidak berpeluang untuk terbang ke Jakarta untuk festival utama serta buat peminat yang ingin bersiap sedia untuk acara utama dengan hadir di latihan dahulu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal.
Beliau turut mendedahkan lebih 2,000 tiket telah terjual sebelum barisan artis diumumkan, membuktikan kepercayaan peminat terhadap jenama Pestapora dan apa yang bakal ditawarkan dalam festival ini.
“Lebih daripada sekadar persembahan, festival ini adalah simbol penyatuan budaya dan komuniti melalui muzik. Ia ruang untuk saling memahami dan berkongsi vibe serantau,” tambah Rohit.
Harga tiket bermula serendah RM129 untuk General Admission, manakala kategori lain termasuk Rockzone (RM199), Kanak-kanak (RM70) dan Express Lane tambahan RM100.
Baca juga.