Tidak Pernah Bincang Status Islam Sebagai Agama Persekutuan – PM

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah berbincang untuk menukar status agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Menurutnya, tuduhan jelik pembangkang mengenai perkara tersebut adalah tidak berasas dan boleh mencetuskan kebencian.

“Ini khayalan apa? Tidak ada, Datuk Seri Saarani (Saarani Mohamad) ada di Ipoh (di sini), KSN (Ketua Setiausaha Negara) ada di sini.

“Tidak pernah bincang untuk mengubah prinsip sama ada berkaitan bahasa, agama Islam, hak keistimewaan Melayu Bumiputera, atau kedudukan Raja-Raja,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Ahad.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari.

Anwar menyeru agar pembangkang menghentikan perbuatan menyebarkan berita palsu yang menghasut rakyat menggunakan isu agama dan bangsa.

Beliau menyatakan bahawa kerajaan terbuka untuk dikritik, namun kritikan harus berdasarkan fakta, bukan penipuan.

“Kritiklah dasar ekonomi, isu ringgit, atau PM tidak bijak, tetapi tidak boleh khianat dan menyebarkan cerita seolah-olah apa yang kita lakukan merosakkan bangsa dan agama,” tegasnya.

Perdana Menteri turut menekankan pentingnya kerjasama antara semua pihak untuk memelihara kestabilan dan keharmonian negara, sambil menyatakan bahawa kestabilan ekonomi Malaysia kini diakui di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menyeru agar perbezaan pendapat dalam politik diuruskan dengan penuh tanggungjawab, agar tidak menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat.

“Berbeda pendapat dalam politik itu biasa, semua orang bebas untuk bicara, tetapi haruslah penuh tanggungjawab. Jika tidak, akan timbul budaya cemas dan takut,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat