Tidak popular tetapi perlu kekang jenayah internet – PM

Usaha menangani lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber menerusi media sosial memerlukan kerajaan memperkenal lebih banyak peraturan termasuk yang tidak popular.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berdepan sikap pihak tertentu yang menggunakan media sosial untuk mengekspresikan pandangan tanpa mengambil kira impaknya kepada masyarakat dengan alasan kebebasan bersuara.

“Saya tegaskan bahawa peraturan di media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang bakal diperkenalkan kerajaan adalah untuk mengatasi penyebaran jenayah dan maklumat berbahaya.

“Sekali gus, ia dapat mewujudkan persekitaran maya yang selamat untuk semua pengguna,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Beliau turut berkata, kerajaan sedar mungkin ada beberapa sekatan atau peraturan yang tidak popular namun ia perlu demi kesejahteraan masyarakat.

“Saya sempat menyantuni masyarakat setempat dan melawat Masjid Ar-Rashid yang bakal siap sepenuhnya dan berfungsi tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial dan aktivis, Rajeswary Appahu, 29, atau Esha ditemui mati pada 5 Julai lalu dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapi berikutan menjadi mangsa buli siber.

Sehari sebelumnya mendiang ada membuat laporan polis terhadap ugutan jenayah dan fitnah terhadap dirinya di media sosial.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Ahad memaklumkan, perkhidmatan media sosial dan pesanan internet dengan sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu yang akan dikuat kuasa 1 Januari depan itu selaras keputusan Kabinet bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet mesti mematuhi undang-undang Malaysia sekaligus mewujudkan ekosistem dalam talian lebih selamat serta pengalaman lebih baik untuk pengguna terutama buat kanak-kanak dan seisi keluarga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat