‘Tidak Salah, Harus’ Hukum Wanita Sertai Global Sumud Flotilla – Mufti WP

PETALING JAYA: Penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan ke Palestin menerusi ‘Global Sumud Flotilla’ disahkan sebagai harus dan tidak bercanggah dengan hukum syarak, menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Penjelasan itu hadir susulan persoalan awam berhubung hukum penglibatan wanita dalam misi bantuan berskala antarabangsa yang melibatkan penghantaran makanan, ubat-ubatan dan sokongan kemanusiaan ke Gaza.

“Hukum penyertaan wanita dalam flotila ini adalah harus dan tidak salah untuk terlibat.

“Lebih-lebih lagi dalam situasi rakyat Palestin yang cukup terdesak dalam mengharapkan pertolongan dan bantuan daripada sesiapa pun yang sanggup menempuhi cabaran,” menurut kenyataan rasmi Pejabat Mufti.

Jelas kenyataan itu lagi, hukum wanita keluar berjihad di luar negara secara asasnya tidak wajib.

Namun, dalam konteks semasa, keperluan dan hajat tertentu menuntut penglibatan wanita terutamanya dalam membantu golongan wanita lain yang terkesan akibat peperangan.

“Pada zaman hari ini terdapat keperluan dan hajat yang memerlukan penglibatan wanita contohnya dalam membantu wanita lain yang berada dalam keadaan peperangan,” katanya.

Penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan juga disifatkan sebagai sesuatu yang dituntut dan dipuji, sebagaimana peranan tokoh wanita Islam terdahulu seperti Saidatina Aisyah dan Ummu Sulaiman yang turut serta dalam medan peperangan.

Berdasarkan Riwayat Al-Bukhari, Ibnu Battal menyebut bahawa wanita pada zaman Rasulullah S.A.W keluar berjihad dengan memberi minum dan merawat tentera yang cedera.

Muhammad Ibn Rusyd pula menegaskan dalam Kitab Al-Bayan Wal-Al-Tahsil.

“Tiada khilaf dalam keharusan wanita keluar berjihad bersama para tentera bagi memberi khidmat kepada mereka,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menekankan bahawa walaupun wanita tidak mengangkat senjata, peranan mereka tetap penting dalam menjayakan misi jihad yang dilancarkan.

Hukum penyertaan wanita dalam jihad bergantung kepada situasi dan syarat-syarat syarak yang dipenuhi, dan ia dianggap sebagai suatu kebaikan yang mendapat ganjaran pahala.

“Lebih-lebih lagi dalam situasi genting yang dihadapi oleh rakyat Palestin pada ketika ini yang begitu terdesak kepada pertolongan dan bantuan tidak kira daripada siapa jua yang mampu menolong mereka,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan penyertaan beberapa wanita Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla, termasuk selebriti Ardell Aryana dan Zizi Kirana serta pempengaruh media sosial Farah Lee.

Misi ini diterajui oleh Sekretariat Sumud Nusantara yang terdiri daripada Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM, Cinta Salam Malaysia dan NGO rakan sebagai percubaan ketiga membolosi sekatan maritim Israel ke atas Gaza.

Kesemua peserta adalah sukarelawan dan tidak mewakili mana-mana kerajaan, menjadikan misi ini sebagai simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan kemanusiaan di Palestin.

Anda Mungkin Berminat