Tidak salah kritik, tapi biarlah berfakta – Zafrul sangkal Tun M

PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menepis dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia membuat perjanjian perdagangan yang merugikan dengan Amerika Syarikat, termasuk isu tarif dan nadir bumi.

Beliau menegaskan rundingan tersebut adalah langkah pengurusan krisis yang perlu, bagi mengelakkan tarif 25 peratus yang mampu menjejaskan lebih RM198 bilion nilai eksport termasuk 100,000 pekerjaan dalam sektor elektrik dan elektronik.

“Kami bukan sekadar ‘gembira’ seperti yang dikata Tun, tetapi bertindak mempertahankan periuk nasi rakyat dan kestabilan ekonomi. Malaysia mendapat kadar tarif 19 peratus yang sama dengan rakan ASEAN lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut membetulkan dakwaan kononnya Malaysia menghapuskan cukai ke atas 11,000 produk AS. Menurutnya, hanya 60.4 peratus baris tarif kini dikecualikan duti, bukan 100 peratus seperti yang dikatakan Dr Mahathir.

“Perbezaan antara 60 peratus dan 100 peratus adalah besar, dan tuduhan Tun adalah tidak benar,” tegasnya.

Berkaitan nadir bumi, Tengku Zafrul menjelaskan tiada sebarang perjanjian, sama ada lisan atau bertulis, untuk membekalkan nadir bumi mentah kepada AS atau mana-mana negara. Malah, sejak 1 Januari 2024, Malaysia menguatkuasakan larangan eksport nadir bumi mentah.

“Dasar ini memastikan semua nadir bumi diproses dalam negara, bagi memaksimumkan nilai ekonomi dan peluang pekerjaan tempatan. Industri ini dijangka menyumbang sehingga RM9.5 bilion kepada KDNK pada 2025,” ujarnya.

Beliau menegaskan tidak salah untuk mengkritik, tetapi kritikan mestilah berasaskan fakta.

Terdahulu, Dr Mahathir mendakwa rundingan tarif Malaysia-AS menguntungkan Washington tetapi merugikan negara, mencetuskan perdebatan mengenai cukai import dan dasar nadir bumi sehingga mendorong Tengku Zafrul memberi penjelasan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat