‘Tidak Sempurna Lawatan Rasmi Tanpa Bersama Diaspora Malaysia’ – Anwar

DILI: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste bukan sekadar pertemuan diplomatik antara dua negara tetapi turut menyentuh hati rakyat Malaysia yang menetap di perantauan.

Dalam satu sesi mesra bersama diaspora Malaysia di Dili, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap peranan mereka sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat di luar negara.

“Tidak sempurna lawatan rasmi ini tanpa sesi bersama diaspora Malaysia di Timor-Leste, yang menjadi jambatan mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat kita di perantauan,” kata Anwar dalam ucapan beliau.

Sesi tersebut berlangsung selepas Anwar menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Istana Presiden Timor-Leste dan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Presiden Dr José Ramos-Horta.

Kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai sektor berpotensi termasuk pendidikan, kesihatan, pelaburan, budaya dan pengecualian visa.

Lawatan itu juga membawa makna yang lebih mendalam apabila Anwar menekankan bahawa hubungan Malaysia–Timor-Leste bukan sekadar hubungan diplomatik tetapi satu ikatan yang dibina atas semangat serantau dan solidariti.

“Saya tekankan bahawa lawatan penuh makna ini merupakan satu mercu tanda penting untuk Malaysia dan Timor-Leste memperkukuh kerjasama sedia ada, di samping membuka lembaran baharu peluang sinergi bersama,” ujar beliau.

Malaysia dan Timor-Leste menjalin hubungan diplomatik sejak kemerdekaan Timor-Leste pada tahun 2002.

Malaysia merupakan antara negara awal yang menyokong pembinaan semula negara itu termasuk dalam bidang pendidikan, latihan keselamatan dan pembangunan kapasiti awam.

Sejak itu, hubungan dua hala berkembang secara konsisten dengan Malaysia menjadi rakan dagang penting dan penyumbang kepada pembangunan sumber manusia Timor-Leste.

Anda Mungkin Berminat