Oleh: Tyah Helmi
GELOMBANG K-pop kini melanda rak-rak snek tempatan apabila produk makanan ringan ikonik Malaysia, Mister Potato, kembali mencuri perhatian dunia apabila tiga anggota popular dari kumpulan Hallyu global, SEVENTEEN iaitu Joshua, DK dan Dino terang-terangan mengisytiharkan cinta mereka terhadap jenama itu.
Dalam kandungan video khas ‘Inside Seventeen’, trio tersebut berkongsi berita menggembirakan apabila mereka bukan sahaja bakal menjejakkan kaki ke Malaysia tetapi juga tampil sebagai wajah utama kempen global Mister Potato yang diberi nama ‘Jinjja Crunch’.
“Kami ada berita menarik untuk anda semua. Kami sayang kamu, Mister Potato!
“Jumpa anda di Malaysia!” kata Joshua dalam video tersebut, disambut sorakan penuh semangat oleh DK dan Dino.
Penglibatan mereka disahkan melalui hantaran media sosial oleh CEO Kumpulan Mamee-Double Decker, Pierre Pang yang memuat naik gambar ketiga-tiga jejaka kacak itu sekitar awal Julai, lengkap dengan tanda-tanda penuh teka-teki seperti ‘Jumpa kami secara langsung di KL’ dan ‘Apa khabar, Oppas?’
Sejak itu, peminat mula membanjiri pasar raya dan kedai runcit dalam ‘pemburuan edisi khas’ Mister Potato yang menampilkan wajah bintang-bintang ini.
Ada yang bersorak, ada yang mengalirkan air mata dan ini semua kerana penantian selama enam tahun akan berakhir selepas kali terakhir SEVENTEEN menjejakkan kaki ke Malaysia pada tahun 2019.
Kolaborasi luar biasa ini dilihat bukan hanya sebagai strategi pemasaran, malah sebagai satu momen membanggakan buat jenama Malaysia yang telah wujud sejak 1991.
Dari kenangan zaman kanak-kanak ke waktu santai bersama keluarga, Mister Potato kini melangkah lebih jauh sebagai simbol global yang mewakili rasa tempatan dan semangat kebangsaan.
Dengan pelancaran ‘Jinjja Crunch’, Malaysia kini mempunyai snek rangup yang bukan sahaja memikat lidah tetapi juga mencuri hati bintang Hallyu.