PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan tiga buah bot penumpang yang melanggar syarat sah lesen di sekitar jarak satu batu nautika Muara Kuala Mersing pada hari Ahad, pukul 1.00 petang.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin memaklumkan bahawa bot-bot tersebut ditahan dalam Operasi Bersepadu yang melibatkan kerjasama antara Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), sempena pembukaan semula aktiviti pelancongan di kawasan taman laut Mersing selepas musim Monsun.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bahawa ketiga-tiga bot penumpang tersebut membawa penumpang melebihi syarat yang ditetapkan dan kini disiasat di bawah Peraturan Bot 1953.
Katanya, tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan syarat-syarat sah lesen seperti membawa penumpang melebihi kapasiti boleh mengundang risiko bahaya dan kehilangan nyawa pada bila-bila masa.
“Kami memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong serta mencegah daripada sebarang insiden tidak diingini,” tegas beliau.
Difahamkan, kesemua bot berkenaan telah ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Mersing bagi siasatan lanjut.
Maritim Malaysia turut menegaskan komitmen mereka dalam memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negara khususnya di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.