PETALING JAYA: Malaysia melancarkan tiga inisiatif utama di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 yang disifatkan sebagai legasi penting dalam membentuk masa depan serantau yang inklusif dan mampan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan pelancaran inisiatif tersebut menandakan permulaan bab baharu dalam sejarah ASEAN yang kini berdepan pelbagai cabaran geopolitik, teknologi dan alam sekitar.
“Majlis hari ini menunjukkan apa yang telah kita capai bersama, dan lebih penting, apa yang akan kita tinggalkan sebagai legasi untuk masa depan ASEAN,” katanya ketika berucap di ‘Asean Centre of Excellence In Green Transition’ pada Jumaat.
Tiga inisiatif utama yang diumumkan ialah Pusat Kesejahteraan MSME (MEGA), Laporan ASEAN AHEAD: Sains, Teknologi dan Ekosistem Inovasi 2035, serta buku ASEAN in 2025: Shaping an Inclusive and Thriving Future.
Menurut Mohamad, penubuhan MEGA mencerminkan komitmen Malaysia memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) agar lebih bersedia menghadapi peralihan ekonomi hijau serta cabaran pasaran masa depan.
“Transformasi ekonomi mesti bermula di peringkat akar umbi. Melalui MEGA, PMKS akan diberi akses kepada latihan dan pengetahuan untuk menyesuaikan diri dalam ekonomi rendah karbon,” jelasnya.
Sementara itu, inisiatif ASEAN AHEAD pula bertujuan menilai arah aliran sains, teknologi dan inovasi sehingga tahun 2035 bagi memastikan pembangunan rantau ini dipacu oleh pengetahuan dan inovasi, bukan kebetulan.
Dalam pada itu, buku ASEAN in 2025 menghimpunkan pandangan lebih 30 pemimpin dan pakar serantau, merangkumi isu geopolitik, ekonomi serta kesejahteraan sosial bagi memperkukuh kesatuan ASEAN dalam dekad akan datang.
Malaysia kini memegang Kepengerusian ASEAN 2025 dengan tema ‘Advancing Together for an Inclusive and Thriving Future’. Tiga inisiatif yang dilancarkan itu dilihat sebagai antara pencapaian utama yang akan membentuk hala tuju ASEAN selepas tamat kepengerusian Malaysia pada tahun depan.
Baca juga:







