Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan di Kuala Krai

Seorang lelaki maut selepas motosikalnya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di Jambatan Toseng Sungai Batu, Kuala Krai, Kelantan pada Rabu.

Dalam kejadian lebih kurang pukul 12.30 tengah hari, mangsa yang berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dari Kampung Jerek menghala ke Dabong hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu jalan.

Dalam pada itu juga, terdapat sebuah lagi kes kemalangan melibatkan sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta di Kilometer 76 Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Jambatan Pahi pada pukul 4.34 petang.

Kemalangan berlaku apabila kereta Honda yang dipandu lelaki berusia 54 tahun dari arah Pasir Puteh menghala ke Sungai Sok hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar pembahagi jalan yang berada di sebelah kiri jalan.

“Akibat perlanggaran itu, isteri mangsa berusia 50 tahun tercampak keluar dari kenderaan, manakala mangsa pula tersepit dalam kenderaan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mazlan menasihati agar orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya.

Bagaimanapun kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat