BINTULU: Tiga maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan sebuah lori muatan tiga tan di Jalan Pesisir Pantai Bintulu – Samalaju, Sarawak pagi tadi.
Menurut Komander Operasi pasukan bomba, Fabian Andy Jesi, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju dan Kidurong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 6.51 pagi.
“Terdapat lima orang mangsa di dalam kenderaan Perodua Alza. Tiga orang mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan KKM iaitu dua wanita berusia 44 dan 22 tahun serta seorang lelaki berusia 39 tahun.
“Manakala, dua orang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 50-an yang turut mengalami kecederaan parah telah dikeluarkan daripada kenderaan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada petugas perubatan KKM bagi tindakan susulan dan mendapatkan rawatan segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, pemandu lori, lelaki berusia 41 tahun dilaporkan cedera dan patah kaki.
Manakala, dua lagi mangsa yang menaiki lori tersebut mengalami kecederaan ringan.
Pasukan bomba mengeluarkan semua mangsa tersepit menggunakan alat pemotong khas.
“Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bintulu bagi rawatan susulan,” katanya lagi.
Baca juga: