Tiga suspek ditahan polis selepas cuba melanggar kenderaan polis dengan sengaja di Jalan Pulasan 17, Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor pada Khamis.
Menurut satu kenyataan, sebuah kenderaan yang dipandu secara melulu secara tiba-tiba telah melangggar kenderaan dan anggota polis yang sedang bertugas di bahu jalan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Johor, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian tersebut hampir mencederakan pegawai polis bertugas sehingga menyebabkan pihak polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan tersebut untuk mempertahankan diri.
“Pihak polis telah berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 24 tahun hingga 45 tahun.
“Dalam pada itu, hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah.
“Manakala, suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah dan dua rekod kesalahan dadah serta suspek ketiga mempunyai dua rekod kesalahan dadah,” katanya.
Mohd Sohaimi turut berkata, hasil ujian saringan awal air kencing kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Susulan itu, permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada 19 Julai 2024 (Jumaat).
Namun, seorang lagi suspek masih bebas dan kini pihak polis sedang giat mengesan Mohd Syakirin Mohd Samsudin, 25, warga tempatan.
Justeru itu, siasatan turut dijalankan di bawah peruntukan undang-undang seperti Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh orang, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahya 1952.
Baca juga: