Tiga syarikat PPKM dilantik secara terbuka

PARLIMEN | Tiga syarikat yang dilantik untuk menyediakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) melalui proses lantikan secara terbuka, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Tiga syarikat tersebut adalah Wawasan Bintang Sdn Bhd, Pakatan Petroleum Sdn Bhd dan Beriman Gold Sdn Bhd.

Beliau berkata, syarikat yang dilantik mendapat kelulusan bersyarat dan mesti memenuhi semua kriteria sebelum lesen operasi diberikan kepada mereka.

“Lantikan secara terbuka bagi memastikan fungsi syarikat tersebut tidak diragui.

“Kalau saya nak sorok-sorok, tidak payah saya umum nama syarikat ini. Yang penting kita nak buka pasaran pemeriksaan kenderaan ini lebih kompeten dan berdaya saing.

“Lebih banyak pilihan kepada pengguna, termasuk pusat pemeriksaan di Jerantut yang akan memudahkan rakyat supaya tidak pergi jauh,” katanya menjawab soalan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin yang mahukan penjelasan kriteria yang membolehkan ketiga-tiga syarikat baharu itu dipilih biarpun tidak mempunyai pengalaman.

Anthony menegaskan, ketiga-tiga syarikat tersebut adalah milik Bumiputera dan seharusnya diberikan keyakinan untuk melakukan projek berkenaan.

“Jadi kita kena ada keyakinan dengan syarikat-syarikat ini dan yang penting pemeriksa kenderaan itu mesti bertauliah. Apabila mereka siapkan semua kriteria, kelengkapan dan kemudahan perlu ada pemeriksaan setiap lorong itu mesti dilantik oleh pemeriksaan kenderaan yang bertauliah.

“Pekerja mesti ambil kursus dahulu di JPJ, penilaian juga oleh JPJ baru boleh menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan,” katanya.

Lantikan itu diumumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 7 Februari lalu bagi menamatkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Anda Mungkin Berminat