HEATHROW: Tiga universiti di United Kingdom bersetuju memberi diskaun yuran pengajian antara 10 hingga 20 peratus untuk pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia hasil perundingan dengan tiga universiti tersebut.
“Hasil perundingan dengan Warwick University, Birmingham University dan Edinburgh University setuju bagi diskaun yuran pengajian 10-20 peratus untuk pelajar MARA,” kongsinya di Facebook pada Isnin.
Terdahulu, Asyraf menjelaskan bahawa pihaknya mengadakan pertemuan strategik bersama pengurusan tertinggi dan para profesor kanan terkemuka di University of Cambridge, United Kingdom bagi meneroka potensi kerjasama MARA-Cambridge yang mampu melonjakkan lagi kualiti pendidikan dan pembangunan modal insan negara.

“Alhamdulillah, pertemuan yang berlangsung hampir dua jam ini melahirkan beberapa resolusi yang amat positif, selaras dengan keputusan Majlis MARA baru-baru ini yang berhasrat untuk membina laluan akademik khas (feeder pathway) bagi pelajar-pelajar MRSM, terutamanya 12 MRSM IGCSE, untuk menempatkan diri di universiti-universiti terkemuka dunia termasuk di University of Cambridge.
“Pihak Cambridge juga menyambut baik inisiatif ini, malah telah menyatakan persetujuan untuk menghantar delegasi ke Malaysia bagi sesi libat urus bersama para Pengetua MRSM IGCSE serta guru-guru kaunselor.
“Sesi ini penting bagi memperincikan keperluan akademik dan struktur laluan kemasukan ke Cambridge. MARA mempunyai ‘talent pool’ yang luas dan ini akan membuka peluang kepada anak-anak ini melanjutkan pelajaran kemasukan Cambridge,” katanya lagi.
Pertemuan ini juga membuka peluang buat 9,987 warga pendidik MARA di seluruh institusi pendidikan MARA (IPMA), yang meliputi kolej-kolej kemahiran, universiti-universiti MARA dan MRSM dengan para pendidik berpeluang menjalin pertukaran kepakaran.
Selain itu, boleh juga menjalankan penyelidikan bersama serta meneroka peluang melanjutkan pengajian di peringkat pasca siswazah (postgraduate) dalam bidang-bidang strategik di Cambridge seperti tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), sains sosial, teknologi kuantum, block chain, IOT, inovasi keusahawanan dan pelbagai bidang baharu yang menjadi pemacu masa depan ekonomi dunia.
Inisiatif kerjasama ini adalah sebahagian daripada agenda strategik MARA untuk memastikan anak-anak bangsa tidak hanya bersaing di peringkat nasional, malah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah di pentas akademik dan profesional antarabangsa.
Baca juga:








