PETALING JAYA: Tindakan pantas anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel di landasan berhampiran KM17.888 laluan Subang Jaya–Batu Tiga, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam, pasukan rondaan menerima maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan landasan sebelum bergegas ke lokasi.
Tiga lelaki warga asing berjaya ditahan ketika sedang memotong kabel menggunakan alat pemotong.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, tindakan pantas anggota RCJ telah mengelakkan kerosakan lebih besar terhadap infrastruktur landasan.
“Pasukan RCJ yang tiba di lokasi berjaya menahan tiga lelaki warga asing yang didapati menceroboh kawasan landasan dan memotong kabel menggunakan ‘cutter’.
“Hasil pemeriksaan di lokasi turut menemui beberapa barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk sebuah pemotong kabel besar, tiga telefon bimbit, dua kunci motosikal serta sebuah dompet yang tidak mengandungi pasport,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Ketiga-tiga suspek kemudian diserahkan kepada unit MPV Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan lanjut.
“Suspek telah diserahkan kepada MPV IPD Subang Jaya untuk tindakan lanjut.
“Laporan polis juga telah dibuat dan kes kini dalam siasatan pihak polis,” jelas kenyataan itu.
KTMB turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan kepada pihak polis atau menghubungi talian rasmi KTMB bagi memastikan keselamatan operasi kereta api sentiasa terjamin.








