Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka sengit apabila dua tokoh utama parti, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, masing-masing dilihat mempunyai kekuatan tersendiri.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, peluang kemenangan juga dilihat seimbang.
“Rafizi segera melancarkan kempen sejurus mengumumkan hasrat mempertahankan jawatan dengan membawa tema Hidupkan Idealisme Reformasi Ujian Kuasa (HIRUK), menggambarkan komitmen beliau terhadap idealisme reformasi yang menjadi teras PKR.
“Nurul Izzah bukan hanya diterima di peringkat nasional seperti mana beliau mendapat sokongan daripada beberapa cabang dan negeri, malah di peringkat antarabangsa juga.
“Beliau (Izzah) lantang bersuara terutama menyuarakan hak-hak wanita dan kebolehan beliau berpidato juga tidak kurang jika dibandingkan dengan Rafizi.
“Walaupun Rafizi melancarkan kempen lebih awal, saingan masih terbuka. Masing-masing mempunyai asas sokongan dan rekod kepimpinan yang kuat dalam PKR,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.
Tambah Dr Mazlan, pertembungan itu dilihat sebagai satu pertandingan yang cukup signifikan, mengimbau semula era awal reformasi apabila kedua-dua tokoh ini menjadi antara wajah utama perjuangan parti yang diasaskan lebih dua dekad lalu.
Katanya, kehadiran Nurul Izzah dalam persaingan itu menambah kehangatan kempen, sekali gus menarik perhatian pemerhati politik dalam dan luar negara.
“Ini seperti pertembungan buku dengan ruas.
“Kedua-duanya membawa kekuatan tersendiri dan memiliki rekod panjang dalam perjuangan parti,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, katanya, persaingan itu juga dilihat sebagai medan penting dalam menentukan hala tuju PKR selepas era kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menerajui kerajaan sebagai Perdana Menteri.
Pencalonan Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita berlangsung selama dua hari secara dalam talian.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei.