Timbalan Presiden PKR: Rafizi Alu-Alukan Saingan, Sedia Pertahan Jawatan

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kepimpinan pusat parti bulan ini, sambil mengalu-alukan pencabar lain untuk turut bertanding bagi jawatan tersebut.

Rafizi berkata, sekiranya beliau dipilih, beliau akan terus memainkan peranannya sebagai Timbalan Presiden PKR serta Menteri Ekonomi dalam kerajaan.

“Saya menerima baik berita-berita bahawa Datuk Seri Saifuddin dan Nurul Izzah Anwar menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti.

“Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden KEADILAN dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Rafizi lagi, jika keputusan sebaliknya, beliau bersedia kembali sebagai pemimpin akar umbi yang aktif berkempen di lapangan.

“Ia keputusan yang menang-menang bagi saya. Apa pun pilihan yang diambil perwakilan parti, ia membuka ruang kepada saya menawarkan sumbangan menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, Rafizi juga mendedahkan bahawa beliau telah menyatakan kesediaan untuk tidak mempertahankan jawatan tersebut serta melepaskan jawatan kabinet kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sepanjang cuti khas yang diambil beliau baru-baru ini.

Ini kerana, Rafizi berkata mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja akar umbi menjelang PRU16 dan menyatakan bahawa strategi kempen perlu diperkemaskan mengambil kira keadaan semasa rakyat.

“Saya menyuarakan kebimbangan bahawa kempen kerajaan ketika ini terlalu bersifat bertahan (defensif) berbanding pendekatan menyerang (offensif) yang sinonim dengan KEADILAN semasa menjadi pembangkang dahulu.

“Saya percaya kekuatan saya adalah sebagai seorang ahli politik yang bebas bergerak dan agresif berkempen di lapangan. Namun, kedudukan saya sebagai menteri membataskan suara dan gerak kerja, kerana terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Rafizi, kedua-dua pemimpin tersebut menyatakan bahawa masih ada keperluan untuk beliau kekal bertanding jawatan Timbalan Presiden serta terus berada dalam kabinet.

“Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” tambah Rafizi.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah memberi bayangan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang akan datang.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, keputusan yang bakal diambil harus mempertimbangkan keperluan menyatukan dan memperkukuh hubungan sesama anggota parti sambil membawa perubahan bermakna demi memastikan PKR kekal relevan dan diyakini rakyat Malaysia.

Sokongan terhadap Nurul Izzah semakin meningkat dengan beberapa pemimpin PKR dari pelbagai negeri menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonannya.

Malah, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim turut menyatakan bahawa pencalonan Nurul Izzah adalah langkah strategik untuk memperkukuh kepimpinan masa depan parti.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat