Timbunan Kerusi Roda Wakaf Di Madinah: Seruan Salur Ke Institusi Dalam Negara

PETALING JAYA: Umat Islam disaran menyalurkan wakaf kepada institusi dalam negara agar sumbangan yang diberikan benar-benar dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, amalan mewakafkan kerusi roda dan al-Quran dalam jumlah besar di Mekah dan Madinah perlu dinilai semula berikutan lebihan bekalan yang tidak digunakan sepenuhnya.

Gesaan itu timbul selepas laporan portal Mingguan Wanita mengenai longgokan kerusi roda dan kerusi solat wakaf di sebuah kawasan lapang berhampiran Muzium Haramain di Hudaibiyah.

Menurut beliau, dana wakaf yang disalurkan kepada institusi dalam negara berpotensi memberi impak lebih besar kerana keperluannya jelas dan berterusan.

“Pindahkan duit wakaf kita kepada masjid-masjid, surau-surau, IPTA, IPTS dan Majlis Agama Islam negeri-negeri di Malaysia.

“Pahala tetap sama, insya-Allah, malah sumbangan itu lebih pasti dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata, masyarakat perlu melihat wakaf bukan sekadar kepada lokasi yang dianggap mempunyai kelebihan tertentu, sebaliknya memberi perhatian kepada aspek keberkesanan dan manfaat yang diterima oleh penerima wakaf.

Katanya, masih banyak institusi pendidikan, masjid, surau serta badan agama di Malaysia yang memerlukan sokongan kewangan bagi memperkukuhkan program pendidikan, kebajikan dan pembangunan ummah.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat penelitian sewajarnya sebelum menyertai mana-mana kempen wakaf dan memastikan sumbangan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan semasa.

“Yang penting bukan di mana wakaf itu dibuat tetapi sejauh mana manfaatnya sampai kepada masyarakat dan berterusan sebagai amal jariah,” katanya.

Anda Mungkin Berminat