Timor-Leste Bakal Sertai ASEAN Oktober Ini – PM

KUALA LUMPUR: Timor-Leste bakal menjadi anggota ke-11 ASEAN selepas pemimpin-pemimpin Asia Tenggara bersetuju menerima penyertaan negara itu, namun tertakluk kepada pematuhan beberapa syarat yang masih belum dipenuhi bagi keanggotaan penuh.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin ASEAN telah mencapai kata sepakat untuk menyokong Timor-Leste dalam mengambil semua langkah yang perlu untuk menjadi anggota penuh blok serantau itu.

“Timor-Leste sedang berusaha keras untuk memenuhi parameter penting yang digariskan dalam Instrumen Undang-Undang ASEAN, termasuk bidang politik dan ekonomi.

“Malaysia bersama Indonesia dan negara anggota lain aktif membantu mereka mencapai piawaian tersebut,” katanya dalam sidang media penutupan Sidang Kemuncak ASEAN 2025, malam tadi.

Malaysia turut mengambil pendekatan proaktif apabila mengusulkan agar Timor-Leste dimasukkan sebagai anggota ke-11 walaupun negara itu masih dalam proses memenuhi kesemua 66 instrumen perundangan ASEAN, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini.

Anwar berkata, ASEAN kini hanya menantikan penyelesaian beberapa keperluan terakhir, dan percaya keanggotaan penuh Timor-Leste bakal mengukuhkan lagi integrasi serantau serta memperkukuh kedudukan geopolitik ASEAN.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Timor-Leste Bendito dos Santos Freitas, menegaskan bahawa penyertaan negara itu dalam ASEAN bukan sekadar untuk manfaat ekonomi, tetapi juga bagi menguatkan suara negara di peringkat serantau serta selaras dengan ASEAN Outlook on the Indo-Pacific.

Permohonan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN bermula sejak 2011 dan telah diterima secara prinsip pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh pada 2022.

Anggota ASEAN kini ialah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Anda Mungkin Berminat