DILI: Malaysia menegaskan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN bulan depan bakal memperkukuh perpaduan rantau ini, sekali gus memberi dimensi baharu dalam menegakkan keberanian moral serta prinsip keadilan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia konsisten menyokong penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin pada 2002.
“Timor-Leste mungkin ahli termuda dan terkecil ASEAN, namun ia tidak kurang dari segi tekad untuk memainkan peranan aktif. Malah, keberanian moral yang ditunjukkan rakyat Timor-Leste dalam menolak kezaliman menjadikannya suara penting dalam ASEAN,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Presiden bertajuk “ASEAN & the Role of Timor-Leste” pada Rabu.
Anwar menekankan, perpaduan dan kesepaduan ASEAN bukan sesuatu yang automatik, sebaliknya perlu terus diperkukuh bagi berdepan cabaran semasa termasuk jenayah rentas sempadan, persaingan kuasa besar, ketidaksamarataan ekonomi serta pencabulan undang-undang antarabangsa.
“ASEAN tidak mampu bersikap pasif atau leka. Kita berjaya apabila bergerak bersama, bukan apabila menyingkirkan mana-mana pihak. Sama ada kita berjaya bersama, atau tidak sama sekali,” katanya.
Menurutnya lagi, penyertaan Timor-Leste akan memberi nilai tambah kepada ASEAN kerana negara itu mampu menjadi jambatan kepada komuniti Lusophone serta membuka peluang kerjasama dengan negara pulau Pasifik.
Anwar turut menerima penganugerahan tertinggi Timor-Leste, Grand Collar of the Order of Timor-Leste, sebagai pengiktirafan atas sumbangan beliau terhadap hubungan dua hala dan sokongan Malaysia terhadap kemasukan negara itu ke ASEAN.
“Dengan penuh rendah hati, saya menerima anugerah ini bagi pihak rakyat Malaysia,” katanya.
Penyertaan rasmi Timor-Leste dijadual dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN Oktober depan, sekali gus menutup penantian lebih dua dekad negara itu untuk menyertai blok serantau berkenaan.
Baca juga: