Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Timor-Leste terus melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur sebagai bukti kesungguhan negara itu memenuhi kriteria keanggotaan penuh ASEAN menjelang Oktober ini.
Presiden Timor-Leste, H.E Jose Ramos Horta berkata, pelaburan besar dalam sektor infrastruktur kini giat dijalankan, termasuk pembangunan lapangan terbang baharu, peluasan kemudahan sedia ada serta projek sambungan kabel dasar laut yang menghubungkan negara itu dengan Australia.
“Kami juga menambah baik capaian internet menerusi inisiatif seperti Starlink, menaik taraf jaringan jalan raya, serta memperkukuh sistem pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi khas Pelancaran Buku Anwar Ibrahim Global Justice and Peace Through Dialogue oleh Yusmadi Yusoff di Malaysia Tourism Centre (Matic) Kuala Lumpur.
Ujarnya lagi, kerajaan Timor-Leste turut dalam rundingan akhir bersama kerajaan dan syarikat dari Australia bagi membangunkan dua lagi lapangan terbang utama yang dijangka menjana pelaburan mencecah berbilion dolar.
“Pembangunan ini dijangka mampu memberikan kebebasan kewangan sepenuhnya kepada negara kami dalam jangka panjang,” katanya.

Presiden itu turut menjelaskan bahawa daripada tujuh kriteria keanggotaan ASEAN, hanya satu masih dalam pelaksanaan iaitu di bawah pilar ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, Timor-Leste terus menerima sokongan padu daripada Sekretariat ASEAN dan negara anggota termasuk Malaysia yang ketika ini dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami tidak akan sia-siakan sokongan ini dan akan terus berusaha menepati semua syarat keanggotaan,” katanya.
Sebelum ini, Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Kuala Lumpur pada Mei lalu mencapai konsensus untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota penuh ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung Oktober ini.
Baca juga: