Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Negara Timor-Leste akhirnya secara rasmi menjadi salah satu anggota ASEAN ke -11 sejurus menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tahun 2025 memperlihatkan ASEAN-Timor Leste telah melangkah jauh dalam usaha menerima negara jiran itu sebagai sebahagian daripada keluarga ASEAN.
“Penggubalan Garis Panduan bagi Memudahkan Penyertaan Timor-Leste dalam Instrumen Perundangan ASEAN menandakan satu pencapaian bersejarah dalam perjalanan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Sabtu.
Mohammad menyifatkan penyertaan Timor-Leste bukan sahaja mengukuhkan tekad bersama ASEAN tetapi turut meningkatkan keupayaan serantau dalam menghadapi cabaran masa hadapan secara kolektif.

Sebagai Pengerusi ASEAN, beliau menyatakan rasa bangga dan berbesar hati untuk menyaksikan detik bersejarah tersebut bersama negara anggota lain.
Mohamad Hassan menyifatkan Piagam yang menjadi asas kepada visi bersama negara-negara anggota.
“Piagam ASEAN bukan sekadar dokumen asas, ia adalah nadi kepada visi bersama kita, suatu kerangka kepercayaan, hormat dan solidariti yang telah mengikat negara-negara kita yang pelbagai dalam mengejar keamanan dan kemakmuran.
“Dengan menerima Piagam ini, Timor-Leste berikrar untuk berjalan seiring dengan kita, menyulam aspirasi rakyatnya ke dalam fabrik komuniti ASEAN yang sentiasa berkembang,” ujarnya.
Baca juga:








