Tindakan Bakar Poster PM Bertentangan Semangat Reformasi – AMK Sabah

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menzahirkan ketegasan menolak tindakan sekumpulan mahasiswa di negeri itu yang membakar lukisan karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu aksi protes terbuka.

Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak matang dan bercanggah dengan adab perbezaan pendapat dalam masyarakat bertamadun.

“Perlu diingat bahawa PMX merupakan antara tokoh politik yang paling konsisten, tegas dan berani dalam membanteras budaya rasuah.

“Bukan hanya dalam ucapan tetapi melalui pelbagai reformasi institusi dan dasar ketelusan fiskal yang kini sedang dilaksanakan di bawah Kerajaan Perpaduan MADANI,” katanya.

Beliau berkata, ruang bersuara dalam masyarakat wajar dimanfaatkan secara bijak berasaskan hujah, penuh hikmah serta membina.

Menurut Nur Hilmie, tindakan memperlekeh simbol pemimpin yang sedang giat melaksanakan perubahan bukanlah cara yang wajar dalam menyuarakan tuntutan rakyat.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, AMK Sabah tetap menyokong gerakan rakyat yang memperjuangkan integriti, ketelusan dan agenda antirasuah seperti yang disuarakan menerusi himpunan Gempur Rasuah 2.0 baru-baru ini.

“Semangat membanteras penyelewengan dan menuntut keadilan adalah sebahagian daripada denyut nadi perjuangan reformasi yang menjadi teras penubuhan PKR,” ujarnya.

Jelasnya lagi, AMK Sabah kekal menjadi suara progresif anak muda yang menjunjung perjuangan reformasi institusi dan membina Malaysia yang bersih serta adil, namun dengan pendekatan berprinsip dan matang.

“Kita lawan rasuah, bukannya mencipta musuh baru,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan sekumpulan pelajar yang menggelar diri mereka ‘Suara Mahasiswa UMS’ bertindak membakar beberapa poster karikatur menyerupai wajah Perdana Menteri dalam satu protes terbuka berhubung isu rasuah.

Anda Mungkin Berminat