Tindakan Isu Dua Kerakyatan Selaras Perlembagaan Persekutuan – JPN

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa segala tindakan berkaitan isu pemilikan dua kerakyatan dilaksanakan sepenuhnya mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menolak dakwaan bahawa wujud perubahan dasar atau tindakan sewenang-wenangnya terhadap mana-mana individu.

Penjelasan itu hadir selepas penularan satu potongan klip berita di media sosial yang dikatakan merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah JPN berhubung isu berkenaan, namun telah ditafsirkan di luar konteks sebenar.

“Untuk makluman, kenyataan Ketua Pengarah JPN yang pada asalnya diterbitkan sebagai artikel berita adalah merujuk kepada pendekatan semasa dalam menangani isu pemilikan dua kerakyatan yang sememangnya telah lama diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan,” jelas JPN.

Menurut jabatan itu, individu warganegara Malaysia yang memiliki kerakyatan asing boleh membuat pelepasan kewarganegaraan secara sukarela, berbanding dikenakan tindakan pelucutan kewarganegaraan di bawah Perkara 24, 25 atau 26 Perlembagaan Persekutuan.

JPN turut menekankan bahawa pihaknya hanya berperanan sebagai agensi pelaksana yang menjalankan semakan, penelitian serta pengesahan dokumen sebelum menyediakan syor berdasarkan fakta kes.

Keputusan muktamad berkaitan pelucutan status kewarganegaraan pula terletak di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Dalam Negeri.

“Kenyataan bahawa JPN ‘mempertimbang syor’ tidak bermaksud wujud perubahan dasar atau pelaksanaan automatik terhadap mana-mana individu, sebaliknya merujuk kepada opsyen terhadap pelucutan kewarganegaraan yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan pengurusan kewarganegaraan dilaksanakan secara berhemah, adil dan berlandaskan undang-undang,” kata jabatan itu lagi.

Dalam kenyataan sama, JPN memberi jaminan bahawa tiada tindakan sewenang-wenangnya akan diambil, malah setiap kes akan dinilai secara terperinci berdasarkan fakta dan peruntukan undang-undang sedia ada.

JPN turut menyeru agar semua pihak termasuk portal berita dan pengguna media sosial, melaporkan isu berkaitan kewarganegaraan secara tepat dan bertanggungjawab bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.

Anda Mungkin Berminat