KUALA LUMPUR: Kos penjagaan kesihatan swasta yang semakin meningkat termasuk premium insurans perubatan yang semakin membebankan, kini menjadi antara kebimbangan utama rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menyedari keperluan mendesak untuk penyelesaian menyeluruh, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) pada Selasa.
JBMKKS ditubuhkan sebagai platform kolaboratif untuk menyelaras langkah strategik melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk penyedia, pembayar dan pengguna demi menangani inflasi perubatan dan memastikan penjagaan kesihatan berasaskan nilai dapat direalisasikan secara mampan.
“Antara fokus utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan kerangka strategik RESET, penstrukturan semula sistem insurans dan Takaful kesihatan menerusi MHIT serta peluasan penggunaan kaedah pembayaran Diagnosis Related Group (DRG) secara berfasa.
“Turut digariskan ialah usaha memperkukuh penjagaan primer, meningkatkan ketelusan harga dan memperluas akses terhadap rawatan mampu milik,” katanya.
Dalam kenyataan beliau, Dr Dzulkefly berkata, perubahan itu memerlukan usaha bersama semua pihak.
“Saya percaya, kejayaan inisiatif ini hanya akan tercapai dengan iltizam politik yang jelas, kerjasama erat antara sektor awam-swasta dan keterlibatan semua pihak berkepentingan termasuk pengguna, penyedia dan pembayar,” katanya.
Beliau turut menggesa agar tindakan pantas dan inklusif diambil bagi memastikan kelangsungan sistem kesihatan negara.
“Kita tidak boleh berdiam diri. Kos yang meningkat menuntut penyelesaian yang berani, terancang dan inklusif.
“Ini adalah usaha untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan memastikan sistem kesihatan kita kekal adil dan mampan untuk generasi akan datang,” ujarnya.