Tindakan Pantas ERT, Bomba Kawal Kebocoran Gas Di Kapar

KAPAR: Kepantasan pasukan Emergency Response Team (ERT) syarikat bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mengawal insiden kebocoran gas nitrogen yang mencetuskan kebakaran kecil di tingkat tiga bangunan Kelas A milik Southern Acids Industries Sdn. Bhd., Golcanda Estate, tengah hari tadi.

JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.04 tengah hari sebelum tiba di lokasi hanya lima minit kemudian.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar menghantar sebuah jentera bersama enam anggota diketuai oleh PBK I, Ahmad Fuad Nasaruddin Johari.

Menurut laporan awal, kebocoran berlaku pada paip nitrogen dengan keluasan terbakar kira-kira 5 x 5 kaki persegi, iaitu tiga peratus daripada keseluruhan bangunan berkeluasan 225 meter persegi.

Api berjaya dikawal lebih awal apabila pasukan ERT bertindak pantas menutup injap nitrogen dan menjalankan kerja ‘cooling’ menggunakan sistem pili bomba serta ‘sprinkler’.

Pasukan bomba yang tiba kemudian melakukan pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekitar bagi memastikan persekitaran benar-benar selamat.

Tiada kecederaan dilaporkan, namun tindakan pantas kedua-dua pihak berjaya mengelakkan kerosakan lebih besar serta memastikan keselamatan pekerja terjamin.

Anda Mungkin Berminat