Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pihak pengurusan Masjid Putra, Putrajaya akan mengambil tindakan susulan berhubung perlakuan kurang sopan pelancong China ketika melakukan lawatan di masjid tersebut, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyatakan bahawa pihaknya mengambil perhatian insiden yang dilaporkan dalam video tersebut.
“Pelancong China tersebut dilihat telah membaling jubah ke arah Pengawal Keselamatan Masjid Putra dan beberapa kon telah dilanggar atau disepak.
“Pihak pengurusan masjid telah melakukan siasatan terhadap kes tersebut dan tindakan susulan akan diambil berdasarkan lunas undang-undang dan peraturan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihak Masjid Putra sentiasa mengalu-alukan kunjungan orang ramai dan pelancong dengan syarat mereka mematuhi Garis Panduan Pelancongan dan Lawatan ke masjid berkenaan bagi mempromosikan mesej keindahan dan keharmonian Islam sejagat.
Bagaimanapun, dalam masa yang sama, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang perbuatan tidak beradab yang boleh mencemar kesucian rumah Allah.
Video tular itu menunjukkan pelancong dari China membaling semula jubah yang diberikan oleh pegawai di masjid berkenaan, mencetuskan kritikan hebat dalam kalangan netizen yang menganggap tindakan tersebut sebagai biadab dan tidak menghormati peraturan masjid.
Pihak JAKIM telah mengesahkan bahawa tindakan susulan akan diambil untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang dan menjaga kesucian serta keharmonian rumah ibadat tersebut.