PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan berpotensi mengganggu kelancaran prosiding mahkamah.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, AGC memaklumkan bahawa mereka memandang serius kenyataan yang dibuat oleh Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berhubung kes Zara Qairina ketika berucap dalam program ‘Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan’ pada 20 September lalu.
Dalam ucapannya, Shafie didakwa melabelkan kes tersebut sebagai ‘pembunuhan’ dan turut mempersoalkan tatacara siasatan pihak polis serta pakar patologi forensik yang mengendalikan kes berkenaan.
Menurut AGC, kenyataan seperti itu boleh mencetuskan persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat dan berisiko menjejaskan perjalanan prosiding mahkamah yang sedang berlangsung.
“Jabatan ini sedang meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas menurut peruntukan undang-undang, termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian selesai,” kata jabatan itu dalam kenyataan.
AGC turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau melakukan tindakan yang boleh mencetuskan kekeliruan, prejudis atau gangguan terhadap proses kehakiman yang sedang berjalan.








