Tingkat literasi Perlembagaan dalam kalangan rakyat menerusi program dialog

KUALA LUMPUR: Perlembagaan Persekutuan adalah intipati pembentukan negara Malaysia namun hanya segelintir rakyat di negara ini yang memahami.

Apa pun, usaha ke arah memberi pemahaman Perlembagaan Persekutuan telah dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, Gabungan Pertubuhan Cina (Huazong) serta Gabungan NGO-NGO India Malaysia (i-25).

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami telah merasmikan Program Dialog: Memasyaraktkan Perlembagaan bersempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, hari ini.

“Dengan pemahaman yang jelas tentang apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan itu, diharapkan kita akan lebih berbangga menjadi rakyat Malaysia dan dapat lebih menghargai dan menghormati golongan masyarakat yang berlainan bangsa, agama dan budaya daripada kita,” katanya dalam ucapan peramian.

Penghayatan terhadap Perlembagaan akan mengurangkan jurang konflik yang sering kali dibangkitkan masyarakat

Beliau turut menyeru agar semua pihak mengamalkan apa yang dihasratkan oleh Perlembagaan Persekutuan di mana ia merupakan asas kepada perpaduan nasional.

Menurut Saraswathy, penganjuran dialog seumpama itu merupakan langkah penting dalam memberi pendedahan yang komprehensif mengenai Perlembagaan Persekutuan serta meningkatkan kematangan masyarakat dalam menangani isu-isu berkaitan perlembagaan.

Sesi dialog itu dimulakan dengan ucaptama yang bertajuk ‘Hasrat Perlembagaan Malaysia’ oleh Prof Madya Dr Nazri Muslim dan turut membariskan panel pakar iaitu Prof Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian, Prof Wong Chin Huat dan Prof Madya Dr Arnold Puyuk.

Pada majlis itu turut dilancarkan Modul Latihan Memasyarakatkan Perlembagaan (MLMP) yang telah dibangunkan oleh pakar-pakar perlembagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia yang bertujuan untuk meningkatkan literasi perlembagaan dalam kalangan rakyat.

Anda Mungkin Berminat