Tipu Pakej Pelancongan, 5 Laporan Polis Terhadap Kim Seri

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Polis telah menerima lima laporan berhubung dakwaan penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan oleh pempengaruh media sosial, Kim Seri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan bahawa laporan tersebut diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, walaupun dijadikan laporan luar kawasan.

“Semakan mendapati ada lima laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam, media melaporkan seramai 10 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan telah membuat laporan polis malam tadi.

Mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan oleh Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azalina, 39, yang menawarkan pakej pelancongan lima hari ke Seoul dengan harga kira-kira RM4,000.

Terdahulu, tular di laman sosial video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati dan meminta mangsa membuat laporan polis.

Kim Seri memohon maaf secara bertulis kepada pelanggan terkesan dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan wang sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.

Beliau juga berjanji untuk memikul tanggungjawab sehingga selesai dan memohon kerjasama serta kefahaman semua pihak.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat