Titah Adendum: Najib Tiba Di Mahkamah KL

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pukul 8:41 pagi bagi mendengar keputusan penting berhubung permohonan semakan kehakiman berkaitan Titah Adendum.

Keputusan itu bakal menentukan sama ada Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah atau sebaliknya terus kekal di Penjara Kajang.


Berdasarkan tinjauan Malaysia Bangkit, seawal pukul 7:30 pagi lebih 100 penyokong sudah berkumpul di hadapan pintu pagar utama mahkamah dengan menaiki beberapa bas.

Mereka hadir memberi sokongan moral kepada Najib dengan melaungkan slogan “Bebas Bossku”, “Bebas Najib” dan “Justice for Najib”.

Rata-rata penyokong mengenakan t-shirt hitam bertulis “Justice4Najib”, malah ada yang kreatif memakai pakaian dengan lambang Jalur Gemilang.

Puluhan pengamal media turut memenuhi kawasan perkarangan mahkamah bagi membuat liputan langsung terhadap kes yang menjadi tumpuan negara.

Antara figura yang hadir termasuk Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta anak-anak Najib iaitu Datuk Mohd Nazifuddin dan Datuk Muhammad Nizar.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2020 telah dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.

Beliau mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022.

Bagaimanapun, pada 2 September 2022 Najib memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Kes SRC ini adalah sebahagian daripada siri pendakwaan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dianggap antara kes rasuah terbesar dalam sejarah negara.

Permohonan semakan kehakiman Najib bertujuan mendapatkan perintah supaya kerajaan dan enam pihak lain mengesahkan serta melaksanakan Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum itu didakwa membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pada mulanya menetapkan 5 Januari 2026 untuk keputusan, namun tarikh itu diawalkan kepada 22 Disember selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian.

Kes ini mendapat perhatian meluas kerana Najib merupakan bekas Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan di Malaysia.

Anda Mungkin Berminat