PETALING JAYA: Kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang didakwa cuba mengugut Perdana Menteri berhubung isu titah adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai langkah politik terdesak oleh parti yang kian kehilangan arah.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin menyelar kenyataan Ketua UMNO Wangsa Maju, Datuk Seri Dr
Shafei Abdullah.yang menurutnya mencerminkan kegagalan UMNO menjadikan keluhuran undang-undang sebagai asas perjuangan.
“Saya melihat kenyataan terdesak yang dibuat tanpa meneliti isu dan prosedur adalah tindakan bodoh dan jelas menunjukkan tidak ada yang cerdik di kalangan Ketua-Ketua Bahagian UMNO,” katanya sinis dalam satu kenyataan media, hari ini.
Razeef berkata, pengurangan hukuman terhadap Najib oleh Lembaga Pengampunan sudah pun merupakan satu keistimewaan luar biasa berbanding banduan lain.
Namun, katanya, UMNO masih memilih untuk mempolitikkan proses undang-undang dengan mendakwa kononnya Perdana Menteri enggan mengiktiraf titah adendum.
Beliau turut menjelaskan bahawa daripada sudut Perlembagaan, titah adendum yang mencadangkan Najib menjalani tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan oleh itu tidak mempunyai kekuatan undang-undang.
“UMNO yang saya percaya ramai pengamal undang-undang harus faham… titah yang sah mestilah melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan.
“Bukan main petik-petik lepas mesyuarat, kemudian jadikan ugutan kepada Perdana Menteri,” katanya.
Razeef turut mengingatkan bahawa pindaan Perlembagaan pada 1994 melalui Perkara 40(1A) secara jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu menerima nasihat Lembaga Pengampunan, bukan nasihat mana-mana pemimpin politik.
“Apatah lagi daripada parti yang sedang tenggelam,” tambahnya.
Beliau berkata lagi, jika benar keluarga Najib atau UMNO mahu mencadangkan hukuman tahanan rumah, saluran yang betul adalah melalui permohonan rasmi baharu dan bukan tekanan politik secara terbuka.
“Sekurang-kurangnya hormatlah undang-undang negara ini.
“Kalau UMNO masih tidak faham prosedur asas seperti ini, bagaimana mereka mendakwa layak memimpin negara?” soalnya.
Pada masa yang sama, Razeef turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah dizalimi dan dipenjarakan ketika era pentadbiran Najib, namun tidak pernah berdendam.
Sebaliknya, katanya, Anwar berbesar hati memohon pengurangan hukuman terhadap bekas musuh politiknya itu.








